Monday, April 5, 2010

24 jam di neraka

KUALA LUMPUR: Niat murni seorang perunding perkahwinan berusia awal 30-an membantu kenalannya warga asing yang mendakwa dalam kesusahan bertukar tragedi apabila dia dijadikan tahanan lebih 24 jam selain diliwat berulang kali sepanjang tempoh itu.

Tidak cukup dengan itu, mangsa juga dipukul kedua-dua suspek berusia lewat 30-an kerana keengganannya berbuat demikian.

Lebih menjijikkan apabila mangsa yang diperlakukan seperti hamba seks itu turut dipaksa melakukan seks oral.


Malah, kedua-dua suspek turut merakamkan adegan panas berkenaan dipercayai digunakan untuk mengugut mangsa.


Lebih malang wang simpanan bernilai lebih RM6,000 juga dirampas kedua-dua lelaki terbabit.


Semua bermula kira-kira jam 2 pagi Rabu lalu apabila mangsa mendakwa dihubungi suspek yang merayu supaya menjemputnya di Dataran Merdeka, di sini, untuk dihantar pulang.


Difahamkan, suspek mendakwa semua pemandu teksi enggan menghantarnya pulang ke rumah sebelum meminta pertolongan mangsa. Menurut sumber, mangsa menghantar suspek ke rumahnya di Salak Selatan, di sini, sebelum lelaki terbabit memintanya masuk dalam rumah kerana mengadakan jamuan.


“Mangsa kemudian memasuki rumah suspek sebelum didatangi rakan suspek sebelum diarahkan duduk di bahagian ruang tamu,” katanya.


Sumber berkata, mangsa yang tidak curiga dipukul rakan suspek sebelum pergelutan berlaku.


“Pergelutan berlaku lebih 10 minit sebelum kaki dan tangan mangsa diikat menggunakan tali. Malah, matanya juga ditutup menggunakan kain,” katanya.


Sumber berkata, mangsa kemudian dipaksa melakukan seks oral lebih dua kali sebelum dia diliwat kedua-dua suspek.


“Malah, seorang suspek juga mendakwa merakamkan adegan panas berkenaan. Selepas memuaskan nafsu songsang mereka itu, mangsa dikurung di salah sebuah bilik di rumah berkenaan,” katanya.


Keesokan harinya, mangsa mendakwa terus diliwat berulang kali kedua-dua suspek.


Katanya, mangsa dijadikan tempat pemuas nafsu dan difahamkan, sekiranya mangsa melawan dia akan dibelasah kedua-dua lelaki durjana itu.


Sumber itu berkata, seorang daripada suspek kemudian mengarahkannya menyerahkan wang tunai sebanyak RM20,000 sekiranya mahu dibebaskan.


“Mangsa kemudian mendakwa tidak mempunyai wang itu sebelum meminta dibebaskan,” katanya.


Sekitar jam 2 petang Jumaat lalu, mangsa dibawa seorang daripada suspek bersiar-siar sekitar ibu kota sebelum diarahkan menutup mulut sekiranya mahu dibebaskan.


Sumber berkata, suspek turut mengugut mencederakan mangsa sekiranya membuat laporan polis berhubung kejadian itu.


“Suspek juga mendakwa akan menyebarkan rakaman di mana adegan panas mangsa diliwat kepada umum,” katanya.


Sumber berkata, mangsa kemudian dibebaskan sebelum bergegas pulang ke rumahnya di Kajang.


Mangsa yang menceritakan detik hitam itu kepada rakan serumahnya dinasihatkan membuat laporan polis.


Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kajang, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Kes berkenaan bagaimanapun dirujuk semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk tindakan susulan.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa.


“Kita menyiasat dakwaan mangsa dan dalam usaha mengenal pasti suspek terbabit dalam kejadian itu.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment