Tuesday, April 27, 2010

INILAH KAMPUNG AKU YANG BERMASALAH


Selia tempat pelupusan sampah

FELDA PURUN – Penduduk mahu tempat pelupusan sampah diselia dengan rapi supaya tidak menjejaskan kebersihan dan keceriaan tanah rancangan itu.

Seorang penduduk, Ishak Rahman, 55, berkata, pengurusan Felda dan pihak berkenaan perlu memastikan kawasan itu tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa pengawasan.

Menurutnya, pagar yang mengelilingi tempat pelupusan sampah juga roboh menyebabkan ia berselerakan.

“Walaupun tempat itu jauh dari kawasan penempatan tidak bermakna mereka boleh sesuka hati berbuat demikian.

“Kebersihan perlu dijaga walaupun di tempat pelupusan sampah sekali pun,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian dibawa meninjau kawasan itu yang terletak berdekatan dengan kebun peneroka dan mendapati pagar yang dijadikan sempadan roboh serta sampah dibuang di luar kawasan pagar itu.

Ishak berkata, kemungkinan penduduk untuk dijangkit penyakit berjangkit mungkin sukar kerana lokasinya yang jauh dari kawasan penempatan.

Katanya, sehingga kini, penduduk tidak juga menghadapi masalah lalat atau demam denggi namun apa yang berlaku boleh menyebabkan kawasan itu dipenuhi sampah jika tidak dikawal.

Menurutnya, kawasan pelupusan sampah itu seharusnya diselia dengan baik supaya ia tidak ditimbuni sampah-sarap memasuki kawasan kebun peneroka.

Sementara itu, Sinar Harian menghubungi Pengurus Rancangan, Azemim Mamat untuk mendapat penjelasan lebih lanjut mengenai perkara ini.

Azemim berkata, sebelum ini, tempat pelupusan sampah itu terletak di tepi jalan utama Purun-Bukit Kepayang tetapi dialih ke kawasan yang baru apabila ditegur dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah.

Menurutnya, tapak bekas lapangan terbang untuk pembajaan itu yang digunakan sebagai tempat pelupusan sampah yang baru tidak akan memberi sebarang masalah kepada penduduk.

“Dulu, tempat pelupusan sampah di tepi jalan dikatakan tidak sesuai dan mencemarkan pemandangan serta kita mengambil keputusan untuk mengalihkan di sini.

“Selagi sampah-sarap dibuang di atas tapak yang disediakan dan tidak memasuki kebun peneroka, ia bukan masalah besar,” katanya.

Azemim berkata, sekiranya terdapat kemusykilan mengenai perkara ini, penduduk seharusnya mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan Felda dan tidak membuat sebarang andaian yang boleh menjejaskan imej Felda.

2 comments: